12 Tanda Kencing Manis Peringkat Awal

 

tanda kencing manis
Photo by Luke Chesser on Unsplash

Mungkin ada dalam kalangan kita yang sebenarnya memang sudah lama menghidap penyakit kencing manis namun, langsung tidak menyedarinya. Persoalannya, apakah tanda kencing manis sedang berlaku kepada kita?

Statistik penyakit ini berada pada tahap yang membimbangkan kerana negara kita merupakan negara dengan penduduk yang paling tinggi menderita diabetes di Asia Tenggara dan berada pada kedudukan ke-10 di dunia!

Hakikatnya, siapa yang dapat tolak nikmat pengambilan makanan dan minuman yang manis, bukan?

Lihat sahaja makanan dan minuman tradisional kita seperti air batu campur, cendol, lai chi kang dan manisan-manisan, kebanyakannya mengandungi kandungan gula yang sangat tinggi.

Apa Itu Kencing Manis?

Kencing manis (diabetes mellitus) atau lebih biasa dikenali sebagai diabetes adalah sejenis penyakit metabolik yang akan menyebabkan kandungan gula tinggi dalam darah.

Ia mempengaruhi gula dalam darah (glukosa) tubuh badan. Glukosa sangat penting kepada kesihatan kerana ia merupakan sumber utama tenaga bagi sel yang akan membangunkan otot dan tisu selain sangat penting untuk otak.

Dengan bantuan hormon insulin, gula dalam darah akan bergerak ke dalam sel untuk disimpan atau digunakan dan ditukarkan sebagai tenaga.

Jika anda menderita diabetes, tubuh badan anda mungkin tidak cukup menghasilkan insulin atau tidak dapat menggunakannya secara total.

Sekiranya tidak dirawat, kadar glukosa yang tinggi boleh merosakkan sistem saraf, buah pinggang, mata dan lain-lain organ dalam tubuh badan.

3 Jenis Kencing Manis Yang Perlu Dibezakan

Diabetes jenis 1

Kencing manis jenis 1 adalah sejenis penyakit autoimun. Sistem imun akan menyerang dan membunuh sel di dalam pankreas, organ di mana insulin dihasilkan.

Diabetes jenis 2

Kencing manis jenis 2 berlaku apabila tubuh badan tidak mampu bergerak balas dengan insulin, lalu mengakibatkan gula terkumpul di dalam darah.

Kebiasaannya, pradiabetes boleh berlaku jika glukosa adalah lebih tinggi daripada kadar biasa, tetapi ia mungkin tidak begitu tinggi sehingga boleh menyebabkan kencing manis jenis 2.

Diabetes gestasi

Kencing manis gestasi akan berlaku jika seorang wanita itu mempunyai kandungan gula yang tinggi semasa kehamilan.

Hormon yang dihasilkan oleh plasenta mungkin akan menghalang insulin lalu menyebabkan kencing manis gestasi.

Ada juga jenis lain yang dikenali sebagai diabetes insipidus namun ia tidak berkaitan dengan diabetes mellitus meskipun ia memiliki nama yang agak sama.

Ia adalah keadaan di mana buah pinggang anda akan membuang terlalu banyak cecair daripada tubuh badan anda.

12 Tanda Kencing Manis Awal Yang Paling Umum

Simptom diabetes sebenarnya bergantung pada kadar kandungan gula dalam darah.

Ada sesetengah individu terutamanya yang menderita pradiabetes atau diabetes jenis 2, mungkin tidak akan menunjukkan simptom yang terlalu jelas.

Namun, bagi penderita diabetes jenis 1, simptom mungkin akan terlihat lebih cepat dan mungkin lebih teruk.

Berikut tanda tanda kencing manis umum penderita diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2:

  • Sering haus
  • Sering lapar
  • Kerap membuang air kecil
  • Penurunan berat badan secara tiba-tiba
  • Keletihan
  • Kekuatan otot menjadi berkurang
  • Penglihatan menjadi kabur
  • Nafsu berkurangan
  • Disfungsi ereksi
  • Luka lambat pulih
  • Selalu dijangkiti infeksi pada bahagian gusi, kulit atau kemaluan
  • Kewujudan keton di dalam urin (keton adalah sisa produk daripada otot dan lemak yang terkumpul akibat kekurangan insulin)

6 Tanda Kencing Manis Lain Yang Wajar Diawasi

Kandungan gula dalam darah boleh menjadi tinggi tanpa menunjukkan sebarang simptom ketara.

Walaupun kadar peningkatan gula dalam darah anda tidak terlalu tinggi, ia masih boleh merosakkan sistem saraf, buah pinggang serta retina.

Semakin tinggi glukosa juga akan mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk jika anda tidak segera mendapatkan rawatan.

Jadi, anda perlu lebih cepat dalam mengesan tanda tanda kencing manis. Berikut merupakan tanda kencing manis yang perlu anda waspada:

#1. Kerap pergi tandas untuk buang air

Terlalu kerap mengunjunginya terutamanya pada waktu malam, adalah tanda kandungan gula dalam darah adalah terlalu tinggi.

#2. Anda semakin kerap dijangkiti infeksi urin

Apabila kandungan gula dalam darah semakin tinggi, buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan betul. Ini sekali gus mengakibatkan glukosa wujud di dalam urin.

Gula yang berada dalam persekitaran yang lembap pula akan menyebabkan infeksi pada saluran urin, terutamanya pada golongan wanita.

3. Penurunan berat badan yang ketara

Sekiranya anda mengalami kencing manis, tubuh badan anda tidak dapat menggunakan glukosa dengan efektif sebagai tenaga.

Disebabkan itu, tubuh badan anda akan mula membakar lemak yang tersimpan, lalu menyebabkan penurunan berat badan yang ketara.

#4. Penglihatan kabur

Kandungan glukosa yang tinggi akan mengganggu lensa di dalam mata anda, sekali gus merosakkan penglihatan anda.

#5. Anda akan mengalami perubahan warna kulit

Antara tanda kencing manis yang awal adalah berlakunya perubahan pada warna kulit. Perubahan ini sangat jelas kerana kulit penderita diabetes akan mula berubah menjadi warna agak kehitaman terutamanya pada bahagian leher dan ketiak.

Ramai yang salah anggap bahawa ini adalah daki yang melekat pada kulit. Sebenarnya, ini adalah satu kondisi yang disebabkan oleh rintangan insulin dan dinamakan sebagai acanthosis nigricans.

#6. Anda akan kerap letih dan penat

Kadangkala, keletihan dan kepenatan yang melampau mungkin mempunyai kaitan yang rapat dengan diabetes.

Kondisi ini juga mungkin menyebabkan penderita diabetes mengalami dehidrasi yang berpunca daripada kencing yang telalu kerap.

Ia seterusnya akan mengakibatkan kerosakan buah pinggang serta gangguan waktu tidur.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan


Sumber: Hello Doktor

Previous Post Next Post