Photo by Victor Freitas on Unsplash
“Kurusnya, kena makan banyak sikit“. Adakah anda sering menerima kata-kata seperti ini? Jika ya, anda mungkin berhadapan risiko kurang berat badan!
Walaupun mungkin ramai yang beranggapan bahawa kurus itu sihat dan cantik, sebenarnya ia tidak begitu tepat kerana ada kontra yang wujud di sebaliknya.
Jika anda ingin tahu sama ada anda termasuk dalam kategori kurang berat badan atau tidak berserta bahayanya, jom bersama teruskan membaca artikel ini.
{tocify} $title={Table of Contents}
Bagaimana untuk tahu jika kurang berat badan?
Sekiranya anda hanya melihat diri di dalam cermin, anda mungkin nampak tubuh yang kurus itu sebagai sihat dan cantik. Namun sebenarnya, anda tidak tahu yang anda kurang berat badan.
Cara yang lebih tepat untuk tahu perkara ini adalah dengan menimbang berat badan dan menilai ia dengan angka di dalam jadual indeks jisim tubuh (BMI).
Berikut adalah BMI yang akan menentukan jika anda kurang berat, normal, lebih berat atau obes:
- BMI 18.5 ke bawah: Kurang berat
- BMI 18.5 ke 24.9: Normal
- BMI 25 ke 29.9: Lebih berat
- BMI 30 ke atas: Obes
Seandainya anda berada di dalam kategori BMI 18.5 ke bawah, ia menandakan anda itu terlalu kurus lantas meningkatkan risiko kurang berat badan.
Ini adalah risiko kurang berat badan buat anda!
Ia bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan kerana di sebalik memiliki tubuh badan yang mungkin tampak langsing ini, tersembunyi banyak bahaya buat anda.
#1. Malnutrisi
Jika anda terlalu kurus, itu sudah pasti menandakan tubuh badan tidak menerima nutrien-nutrien yang penting lantas boleh menyebabkan kondisi malnutrisi.
Dalam jangka masa panjang, kondisi ini boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan dalam cara yang anda sendiri tidak akan perasan namun masih ada gejalanya.
- Kerap rasa penat
- Sering jatuh sakit
- Haid tidak tentu
- Rambut nipis
- Kulit kering
- Gigi rapuh
Dalam pada itu, malnutrisi juga turut dikaitkan dengan anemia atau kekurangan vitamin penting. Jadi, cuba tambah berat badan ke tahap BMI yang lebih stabil.
#2. Sistem imun tidak kuat
Antara bahaya kurang berat badan yang lain adalah sistem imun tidak kuat lantas meningkatkan risiko untuk anda lebih mudah mendapat penyakit dan jangkitan.
Ya, kondisi biasa seperti demam, selesema, batuk dan lain-lain yang disebabkan oleh bakteria atau virus adalah lebih mudah menjangkiti jika anda terlalu kurus.
#3. Osteoporosis
Tulang anda juga boleh terjejas kerana kekurangan berat badan boleh meningkatkan risiko kondisi ketumpatan mineral tulang rendah (BMD) atau osteoporosis.
Kajian melibatkan 1,767 individu dengan BMI 18.5 ke bawah menunjukkan bahawa mereka cenderung memiliki ketumpatan mineral tulang yang sangat rendah.
Dalam erti kata lebih mudah, tubuh badan yang terlalu kurus mungkin boleh jadi punca tulang rapuh serta pelbagai keadaan kesihatan berkaitan dengannya.
#4. Masalah dengan kesuburan
Wanita dengan BMI rendah berisiko tinggi untuk menghidap amenorrhea yang akan menjejaskan kitaran menstrual serta proses ovulasi di dalam tubuh badan.
Ia adalah punca utama masalah ketidaksuburan. Seandainya wanita berjaya hamil pula, ia turut akan memberi kesan negatif terhadap janin dan wanita hamil itu.
Jadi, sila pastikan BMI anda adalah normal jika sedang bercadang untuk mengandung.
#5. Isu komplikasi pembedahan
Banyak kajian mendapati bahawa individu kurang berat yang menjalani beberapa jenis pembedahan berisiko untuk mengalami isu komplikasi selepasnya.
Antara pembedahan tersebut adalah prosedur untuk penggantian tulang pinggul dan tempurung lutut, pintasan koronari serta transplan paru-paru.
Ia dipercayai akibat ketidakupayaan tubuh badan untuk menyembuhkan luka pembedahan.
#6. Tumbesaran menjadi terbantut
Akhir sekali, risiko kurang berat badan ini akan menyebabkan tumbesaran individu itu menjadi terbantut terutamanya buat golongan kanak-kanak.
Ia disebabkan oleh tubuh badan mereka tidak menerima nutrien-nutrien penting yang sangat diperlukan dalam proses perkembangan individu.
Oleh itu, segera berjumpa pakar diet jika anak anda dilihat terlalu kurus dan tidak berminat untuk makan kerana ia akan menjejaskan tumbesaran mereka kelak.
Konklusinya, kurus itu bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan dan usaha untuk menstabilkan tahap BMI perlulah bermula dari sekarang juga ya!
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan
Artikel Asal - Risiko Kurang Berat Badan [Hello Doktor]
Penafian: Artikel ini diterbitkan dengan kebenaran pihak Hello Doktor. Untuk Maklumat lanjut, sila layari Hello Doktor
Terlalu gemuk susah dan terlalu kurus pun susah juga.
ReplyDelete