Stres Boleh Sebabkan Darah Beku

stres

Hello Doktor: Stres merupakan sesuatu yang normal dalam kehidupan. Semua orang pernah rasa stres, sama ada disebabkan oleh masalah hubungan, keluarga, kerjaya ataupun kewangan. Tapi, tahukah anda, kesan stres boleh menyebabkan darah beku?

Stres merupakan satu tindak balas normal manusia kepada apa-apa jenis permintaan ataupun ancaman. Apabila badan mengesan sesuatu bahaya, stres akan mengambil alih dan membuatkan kita lebih fokus, bertenaga dan berwaspada.

Tindak balas yang dikenali sebagai fight-or-flight response ini juga bertanggungjawab untuk menyelamatkan kita ketika dalam kecemasan.

Bukan semua stres baik untuk kesihatan

Walau bagaimanapun, jangan anggap semua bentuk stres adalah tidak baik untuk kesihatan. Stres di tempat kerja contohnya, boleh bantu anda lebih fokus dan bersemangat ketika melakukan kerja.

Namun, setiap orang mempunyai keupayaan tersendiri dalam mengendali stres. Terlalu banyak tekanan dalam kehidupan boleh menyebabkan sesiapa sahaja menjadi lelah dan hilang semangat.

Ada juga yang tidak dapat tidur malam dan hilang selera makan jika mengalami tekanan perasaan yang terlalu banyak.

Lama kelamaan, stres ini akan mempengaruhi kesihatan, mood, produktiviti dan kualiti hidup seseorang. Lebih teruk lagi, stres yang berlarutan dalam jangka masa yang terlalu lama boleh akibatkan anda mengalami depresi!

Tambahan lagi, individu yang kerap mengalami stres selalunya akan mengamalkan tabiat yang tidak sihat seperti merokok ataupun minum minuman keras sebagai satu cara untuk melepaskan tekanan. 

Namun, bukan itu sahaja. Stres yang berpanjangan juga boleh akibatkan anda mengalami masalah fizikal! Sebagai contoh, anda berpotensi untuk mengalami masalah jantung dan strok akibat stres yang anda alami.

Stres boleh menyebabkan darah beku?

Pada zaman ini, stres dan depresi bukan lagi sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat. Kedua-dua faktor psikologikal ini telah dikenal pasti dapat mempengaruhi kesihatan manusia.

Kegelisahan dan depresi yang berlarutan dalam satu jangkamasa yang lama juga telah terbukti dapat meningkatkan risiko penyakit sakit jantung.

Tambah lagi, masalah kegelisahan dan depresi yang berlaku secara serentak, ditambah lagi dengan gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan tidak bersenam, sudah pasti akan menyebabkan kesihatan seseorang itu jadi merosot. 

Selain itu, perlu diingat bahawa ada di antara kita yang tidak mampu untuk mengawal stres dengan baik. 

Disebabkan setiap individu mengalami stres dengan intinsiti yang berbeza, ada individu yang boleh diserang ketakutan yang amat sangat dan serangan panik akibat stres yang melampau.

Saintis di Univerisity of Bonn telah melakukan kajian terhadap 31 orang subjek yang mengalami masalah kegelisahan. Subjek ini kemudiannya di bandingkan dengan individu yang sihat dengan umur dan jantina yang sama.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, mereka mendapati bahawa individu yang menghidap masalah kegelisahan dan mengalami stres berpanjangan mempunyai darah yang lebih pekat berbanding individu yang sihat.

Saintis juga mendapati ada sedikit perbezaan pada sistem pembekuan darah milik pesakit anxiety dan juga manusia biasa.

Sistem pembekuan darah boleh berfungsi secara dua hala dan saling mengimbangi satu sama lain. Sistem koagulasi badan bertindak untuk membekukan darah untuk mengelakkan pendarahan berlebihan.

Dalam masa yang sama, sistem koagulasi juga akan melakukan proses fibrinolysis iaitu sebuah proses yang membantu darah mengalir dengan lebih baik dengan cara menguraikan darah beku dalam salur darah.

Walau bagaimanapun, dalam kalangan pesakit yang mengalami kegelisahan dan depresi, proses fibrinolysis tidak dapat dijalankan secara normal.

Pesakit yang mempunyai masalah ini lebih berisiko untuk mengalami darah beku dalam saluran arteri. Keadaan ini mungkin merupakan jawapan kepada mengapa pesakit anxiety lebih berisiko untuk meninggal dunia akibat sakit jantung.

Namun, ini tidak bermaksud semua pesakit yang mengalami stes ataupun kegelisahan berpotensi untuk mengalami serangan jantung.

Jangan ambil ringan masalah stres yang berpanjangan

Jika anda mengalami stres yang berpanjangan, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor untuk sesi konsultasi.

Doktor boleh membantu anda mengenal pasti punca stres dan cara yang terbaik untuk mengawal dan mengurangkan tekanan perasaan yang anda alami.

Kajian membuktikan bahawa stres yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko anda menghidap penyakit kardiovaskular.

Tambahan lagi, individu yang sememangnya mengalami masalah sakit jantung dan turut mengalami stres dan depresi lebih berisiko untuk meninggal dunia ataupun mati mengejut akibat sakit jantung.

Jika anda dapati diri anda sering rasa tertekan, cuba redakan stres yang anda alami dengan melakukan aktiviti yang sihat. Jika anda mempunyai hobi, luangkan sedikit masa untuk melakukan aktiviti yang anda sukai.

Lakukan senaman yang boleh menenangkan seperti yoga, meditasi ataupun senaman lain.

Tabiat merokok, minum minuman keras dan kopi boleh meningkatkan kegelisahan yang anda alami. Cuba kurangkan pengambilan makanan ini untuk kurangkan stres yang anda alami.

Kesimpulan

Setiap individu mengalami darah beku atas alasan yang berbeza. Ia mungkin disebabkan oleh masalah genetik, kanser, inflamasi ataupun gaya hidup.

Walaupun kesan stres juga boleh menyebabkan darah beku, ada banyak lagi faktor lain boleh menyebabkan perkara yang sama.

Walau bagaimanapun, dengan mengenal pasti faktor risiko yang ada, anda boleh mengambil langkah yang sesuai untuk mengatasi penyakit ini dan mencari langkah untuk mengelakkan darah beku daripada berlaku lagi pada masa hadapan.

Jika anda rasa kesan stres yang anda alami mempunyai impak yang negatif terhadap kesihatan anda, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan yang lebih lanjut.

Doktor boleh mencadangkan anda untuk mengikuti terapi, kaunseling, kelas ataupun program lain yang dapat membantu anda menurunkan kadar stres dan risiko darah beku.

Artikel ini diterbitkan dengan keizinan pihak Hello Doktor. Untuk maklumat lanjut sila layari Hello Doktor

Previous Post Next Post