Pagi tadi nak dijadikan cerita, aku singgahlah Bank Rimau untuk keluarkan not-not terakhir bulan ni. Sebabkan awal pagi, maka tak ramailah orang dan aku tak perlulah beratur.
Dihadapan pintu masuk bank, berdirilah seorang ibu dan anaknya, menjaja kuih muih, mee hoon dan mee goreng.
Aku perhatikan seorang hamba Allah ni, kerja gomen macam aku juga rasanya. Sebab tanda nama tersemat didada.
Dia keluarkan beberapa keping not sepuluh dan sekeping not lima puluh. Mengira-mengira duit sambil menuju keluar.
Aku kira, dia juga seperti aku, sedang mengira hari ke hari gaji... hehehe
Sewaktu keluar, dia disapa oleh si ibu dan anak yang menjaja dikali lima bank,
“Encik, nak beli sarapan? Ada kuih, ada mee”,
Dia berdiri tegak, dan memandang kearah si ibu dan anak tersebut. Lantas tangan menyeluk kembali poket seluarnya, dan mengeluarkan sekeping not RM10.
“Boleh beri saya karipap tu dua bungkus?”
Si anak tanpa berlengah terus menghulur bungkusan karipap yang diminta.
“RM2, pakcik”.
“Nah, baki nya simpan ya?”, jelas hamba Allah tersebut sambil tersenyum dan berlalu pergi.
“Terima kasih pakcik!”, balas si anak kecil itu dengan senyuman paling manis pernah aku lihat... dan aku pasti, dia benar-benar menghargai pemberian kecil dipagi hari itu.
Lantas aku terfikir, hamba Allah itu sendiri mungkin sedang berada dalam kesempitan menanti hari-hari sebelum gaji.
Ada anak dan isteri yang perlu diberi makan dan pakai dirumah, ada kenderaan yang perlu diisi minyaknya, ada duit belanja yang perlu untuk diri sendiri.
Tetapi masih boleh memberi, hanya untuk melihat orang lain tersenyum bahagia.
Terkesan sungguh aku hari ini.
Sumber: Facebook Firdauz Abdullah
p/s: Bersedekahlah walaupun sedikit kerana dengan bersedekah Allah akan mengantikan kita dengan rezeki yang lebih baik.