Kisah Di Kedai RM2 - MFS

Gambar Hiasan


Seorang ibu diekori 3 orang anaknya dilihat berjalan menuju ke kedai serbaneka RM2. Sebaik sampai dihadapan kedai, ibu itu berhenti lalu dengan tegas berkata pada anak-anaknya,
" Setiap orang hanya boleh ambil satu sahaja barang kat kedai ini. Tak boleh lebih. Siapa ambil lebih, mama tinggal dia kat kedai ini. Lain kali mama tak bawa dah dia jalan-jalan!"
Tegas si ibu memberi amaran. Bagai ibu tiri pula. Anak-anak mengangguk tanda faham. Orang ramai yang lalu-lalang hanya tersenyum kecil.
Mereka pun tahu, kat kedai RM2 itu godaannya terlalu besar buat anak-anak. Eh jap, bukan buat anak-anak sahaja, malah buat mak mak juga.
Semua barang dirasakan murah yang amat. Yelah, RM2 sahaja. Jadi semua barang dia nak beli. Bila bayar, beratus-ratus rupanya. 😅
Si anak bertiga itu patuh. Setiap seorang hanya pegang satu barang. Adik yang kecil beli mainan. Si abang ngah, beli set papan tulis bersama marker mini, yang sulung pula beli set alat tulis.
Mama?
Berbondong-bondong membawa barang. Bagai askar pulang dari medan perang membawa harta rampasan perang. Nasib baik semua barang itu ringan-ringan. Kalau tidak, terpaksa upah bangla agaknya untuk angkat semua itu.
Ada pasu bunga, ada alas meja, ada replika daun, replika binatang, ada bunga hiasan, ada jam dinding, ada 10 spek mata budak-budak, ada bertimbun alat tulis, ada berpeket-peket gula-gula, ada 'double tape',ada alas kaki, ada botol air, cawan, ada macam-macamlah.
Maka seronoklah anak bertiga itu. Mama mereka melarang mereka ambil lebih dari satu barang, rupanya mama mereka beli berpuluh-puluh barang.
Sebaik sampai di rumah, si abang berkata,
" Mama, pasanglah alas kaki baru tu."
" Tak boleh! Itu untuk kelas mama."
" Mama, abang ngah nak pembaris dan pemadam banyak-banyak yang mama beli tu boleh?"
" Tak boleh! Itu untuk murid mama yang selalu tak bawa dan hilang alat tulis."
Tiba-tiba si adik mengambil spek mata lalu memakainya dan bergaya di depan cermin.
" Adik! Jangan main spek hitam tu. Itu mama beli untuk murid mama buat persembahan sempena Sambutan Bulan Merdeka nanti," tegas dan bengkeng sekali mama bersuara.
" Jadi mama beli banyak-banyak tu semuanya untuk kelas mama dan murid mama? Untuk papa tak ada satu benda pun mama beli?
Sampai hati mama lebihkan kelas dan murid sendiri melebihi suami," si suami bertanya dengan nada sedih.
Sebenarnya dia cuma mengusik sahaja. Dia dah kenal benar dah perangai isteri yang dikahwini 13 tahun dulu. Rela berhabisan demi sekolah, kelas dan anak-anak didik tercinta.
" Untuk abang ada. Saya belikan cermin kecil. Senang abang bawa ke mana-mana dan cermin diri tu bila terasa gatal nak mengorat perempuan lain," sinis balas si isteri.
" Hahahaha," gelak besar si suami mendengar jawapan isterinya.
Tapi benarlah, kalau ternampak sesiapa yang keluar dari kedai serbaneka atau alat tulis dengan barang berbondong-bondong, kemungkinan besar itu merupakan seorang guru.
Ya, kemungkinan besar itu seorang guru.
Dan kebanyakan dari barangan itu untuk sekolah, kelas atau muridnya.
Dan hari ini, masyarakat terus-menerus menyalahkan guru atas apa jua isu pendidikan.
Senyum sahajalah cikgu. Senyum sahajalah. Kita tidak mampu nak puaskan hati semua orang. Kita tidak mampu menghalang netizen dari menulis pendapat dan pandangan mereka.
Cuma agaknya, bagaimana dan siapa yang mengajar mereka untuk menulis baca itu?
Ya, tulisan kecaman, sindiran dan makian yang mereka tulis itu; agaknya siapa yang ajar ya?
Mungkin bila lahir mereka terus pandai. Ya, kemungkinan itu ada. Bersangka baik-lah. 😌
#MFS
- Kisah di kedai RM2.

1 Comments

Previous Post Next Post