PENGURUSAN BILIK DARJAH DINAMIK
Ke Arah Pembinaan Modal Insan Berkualiti
Oleh :
Haji Samsudin bin Md Noor
Pendahuluan : Pengurusan bermaksud satu proses mendapatkan penyertaan, kerjasama, dan campurtangan ahli untuk mencapai objektif-objektif organisasi atau kumpulan, gerakerjanya termasuk proses merancang, mengelola, memimpin, mengarah dan mengawal. Bilik darjah sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran, merupakan tempat yang terpenting di sekolah. Bilik darjah juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seorang guru. Pengurusan bilik darjah dinamik ke arah pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek memerlukan pelbagai pengetahuan, kemahiran, prosedur, teknik dan strategi. Guru seharusnya memiliki gaya kepimpinan, kemahiran merancang, kecekapan mengurus, kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran, kebijaksanaan interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran kaunseling dan mampu mengendalikan teknoloji maklumat dan komunikasi (TMK). Pelbagai kekangan dan permasalahan akan ujud dalam bilik darjah, kebiasaannya guru berhadapan dengan tiga cabaran yang besar iaitu kerenah murid, memastikan hasil pembelajaran tercapai dan hambatan masa. Guru yang berwibawa bijak bertindak sebagai penyelesaian masalah, memperjelaskan objektif-objektif setiap perkara yang melibatkan bilik darjah termasuk pengajaran dan pembelajaran serta penilaian (pentaksiran), keceriaan, dan pengurusan murid sebagai pelanggan utama. Pengurus yang berwibawa sentiasa bersungguh-sungguh menjalankan tugas yang diamanahkan, kreatif dan innovatif, dedkasi, adil, cekap, mesra, periang, bertimbangrasa, bersikap terbuka, tenang, sabar dan sentiasa bersedia untuk mendengar rungutan, kritikan dan teguran yang dianggap sebagai cabaran dalam kerjaya. Pengurusan tanpa cacat (zero defect) yang peka dan sentiasa mencari pendekatan baru untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan serta kekurangan yang menjadi punca kepada pembaziran dan kegagalan di samping memiliki gaya pengurusan kualti yang mencakupi semua aspek bagi meningkatkan produktiviti, keberkesanan program dan bertindak dengan cekap. Pengurusan bilik darjah yang menyeluruh melibatkan pengurusan fizikal, peralatan dan sumber, pengurusan murid (pelanggan), pengurusan organisasi, pengurusan masa dan pengurusan pengajaran dan pembelajaran serta penilaian. |
Pengurusan Fizikal, Sumber dan Organisasi Bilik darjah yang mempunyai peralatan asas iaitu papan hitam, papan kenyataaan, dan ruang yang selesa, meja dan kerusi untuk guru dan murid, almari, yang diahiasi dengan penyediaan bahan-bahan bacaan, dan bahan bantuan mengajar serta peralatan sokongan serta dihiasi dengan keceriaan dan keberrsihan. Susunan meja dan kerusi dalam bilik darjah sebaik-baiknya memberi kemudahan kepada murid-murid mengadakan aktiviti pembelajaran berpusatkan murid dan aktiviti berkumpulan. Murid mudah berintraksi sesama mereka dan mudah berintraksi dengan guru. Bilik darjah yang berukuran 7 meter x 9 meter boleh memuatkan 40 orang murid. Cahaya yang mencukupi dan pintu dan tingkap yang terbuka yang membolehkan pengedaran udara yang secukupnya. Papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual waktu, jadual bertugas, carta organisasi, pelan keselamatan, sudut mata pelajaran, sudut bacaan atau rujukan, kata-kata motivasi, termasuk kemudahan penggunaan laman web, komputer dan CD dan LCD sehingga melahirkan pembudayaan bilik darjah yang kondusif. Hasilnya terjelma suasana yang harmonis, ceria, dan semangat kepada murid dan guru untuk berada lebih lama kerana terasa seolah-olah berada dalam sebuah rumah sendiri, ujudnya perasaan saling berkerjasama dan kekitaan dan semangat berdikari, iaitu bersama berusaha memajukan diri dan kumpulan secara kolektif. Murid sebagai sumber manusia yang akan dijelmakan menjadi murid yang berpengetahuan dan berkemahiran dan berketrampilan memerlukan pengurusan dan perancangan strategik yang berkesan. Guru berperanan sebagai pencetus idea, pembimbing, fasilitator bagi melahirkan suasana pembelajaran yang mengcakupi semua bidang kemahiran sebagai sumber kepada pembinaan modal insan. Suasana pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan, bermotivasi, bermoral, kreatif, menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berfokus.Kejayaan guru mengurus fizikal, sumber dan suasana bilik darjah yang kondusif, bermakna guru telah berjaya membentuk budaya berdisiplin, kerjasama, sayang kepada keindahan alam sekitar, mematuhi setiap arahan, kehidupan berkualiti, yang melambang sebahagian daripada keimanan. Persediaan untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan merupakan sebahagian daripada pengurusan bilik darjah dinamik. Persediaan yang merangkum pelbagai alatan dan bahan untuk kegunaan guru dan murid. Ada kalanya murid tidak memberi perhatian atau berkelakuan di luar daripada nilai-nilai murni yang hendak digarap boleh dilihat berpunca daripada tidak terdapat kesinambungan dalam pelajaran disebabkan persediaan guru dari aspek bahan, perlatan, pengetahuan dan kemahiran yang kurang mantap. Iklim Dan Aplikasi Bilik Darjah Suasana bilik darjah harmonis membantu peningkatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna. Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk membentuk iklim dan budaya bilik darjah yang baik. Gaya kepimpinan yang berwibawa tanpa terlalu banyak memberi arahan dianggap sebagai pemimpin demokratik hanya akan mengambil masa untuk mendapatkan buah fikiran bagi menyelesai sesuatu isu, dan kelihatan kumpulan-kumpulan yang ujud di bilik darjah mempunyai hubungan yang lebih mesra dan saling bekerjasama. Berbeza dengan pemimpin Laiissez-faire yang memberi arahan-arahan yang tidak jelas dan jawapan-jawapan yang ringkas tentang sesuatu persoalan. Pendekatan-pendekatan yang hendak digunakan bagi mengawal iklim dalam bilik darjah perlu berlandaskan tahap perkembangan murid-murid. Iklim bilik darjah yang baik biasanya dikaitkan dengan kepatuhan dan keseronokan murid bersama guru dalam bilik darjah tersebut. Guru yang memiliki gaya kepimpinan yang matang sedia menerima dan menghormati setiap murid dalam bilik darjah, memperbaiki peraturan-peraturan supaya peraturan itu boleh berubah mengikut keadaan dan suasana serta menekan kepada jangkaan-jangkaan yang positif. Apabila keadaan ini berlaku guru sebagai pemimpin dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi dan pertumbuhan diri murid-murid serta bersikap keterbukaan dalam perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan. Pengurusan bilik darjah akan menjadi bertambah baik jika sistem penyeliaan diurus dengan berkesan. Murid-murid diberikan tugasan dalam mewujudkan iklim yang kondusif serta membantu dalam penyediaan bahan dan alatan, tugasan-tugasan yang diberikan kepada setiap murid pada awal tahun lagi dapat membantu mengembangkan budaya bertanggungjawab, berkerjasama serta hubungan yang baik antara mereka dan juga hubungan antara guru dengan murid, dan peranan guru sebagai pembantu penyelsaian masalah yang dihadapi oleh murid-murid. Secara umumnya, pengurusan bilik darjah sebaik-baiknya merangkumi ciri-ciri kesesuaian (releven) dengan murid, persediaan suasana pembelajaran yang berkesan, organisasi pengajaran dan sokongan-sokongan yang membantu peningkatan aktiviti-aktiviti perkembangan pembelajaran secara lebih aktif dan produktif, teknik-teknik motivasi dan penyelesaian konflik dan pergabungan semua elemen dalam satu sistem bagi menampakkan keberkesanannya. Peranan dan pengorbanan guru sebagai penggerak dan pengubah iklim yang kurang menyerlah kepada suasana yang lebih kondusif sebagai jambatan utama susanan pembelajaran yang memberangsangkan ke arah pembentukan modal insan di kalangan murid.. |
Pengurusan Murid Murid adalah pelanggan bagi setiap guru dalam bilik darjah, mereka akan bersama setiap kali pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam bilik darjah. Hati mereka perlu dibersihkan melalui pendidikan yang terbaik, yang melampaui tingkahlaku manusia. Terdapat perbezaan antara individu murid atau kumpulan murid dengan yang lain yang mendesak guru menggunakan yang optimum dalam pengurusan bilik darjah, dan adalah penting guru memahami tingkahlaku dan budaya murid supaya sebarang tindakan dapat dilakukan mengikut kaedah yang betul dan tepat. Pengurusan hal ehwal murid dalam bilik darjah melalui pendekatan penyayang yang ditunjukkan oleh guru, dapat menjinakkan mereka, bercakap dengan bahasa yang lembut dan bersopan, menegur dan membetul kesilapan dengan cara yang berhemah, di samping menggunakan segala sifat mahmudah, akan mempercepatkan proses kecintaan dan kesetiaan murid terhadap gurunya, dan kemujaraban pemindahan maklumat daripada guru kepada muridnya. Kemahiran berkomunikasi memainkan peranan penting ke arah pembentukan budaya penyayang, komonikasi berkesan dalam dijelmakan dalam cara bertutur, penggunaan bahasa badan, penulisan, juga melalui penggunaaan alat-alat tertentu seperti komputer, telipon dan sebagainya. Apabila seorang guru menggunakan kemahiran berkomonikasi terhadap muridnya, dapat menghasil suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak, kemahiran-kemahiran tertentu dapat diterap dengan lebih mudah dan berkesan. Komunikasi berkesan menghasilkan motivasi yang berkesan, murid mudah menerima motivasi yang disampaiakn secara berhemah dan berhikmah, nilai-nilai murni yang hendak ditanam dalam diri murid akan melalui laluan yang lebih mudah dan berkesan. Guru yang berwibawa sentiasa melihat pembelajaran sosial sebagai satu aspek penting dalam bilik darjah. Setiap yang dipimpin perlukan penghargaan dan pengiktirafan, dan guru seharusnnya bijak menggunakan kebijaksanaan komunikasi serta pendekatan penyayang dengan menghadiahkan senyuman, memberikan penghargaan apabila mereka mempamerkan sesuatu yang lebih baik daripada sebelum, misalnya, kelas yang lebih teratur, kemas yang bersih. Menghabiskan ayat hafazan sebelum jangka masa yang ditentukan, markah yang semakin baik. Sekeping kertas berbentuk surat penghargaan, atau sebatang pen sebagai tanda penghargaan sudah menunjukkan keikhlaan guru bagi meningkatkan prestasi mereka. Guru menunjukkan teladan sebagai seorang professional, membentuk program-program yang bertujuan membangunkan murid, dengan peraturan dan arahan yang jelas, bagi mengurang segala tingkahlaku negative. Guru sepatutnya mengelak diri daripada menggunakan pendekatan-pendekatan yang bertentangan dengan norma kemanusiaan yang menggalak murid menghargai pertumbuhan pengetahuanh dan kemahiran diri. Budaya bilik darjah yang dinamis, mementingkan aspek nilai-nilai murni, hubungan yang mesra di antara sesama murid, dan murid dengan guru, budaya belajar yang ceria, meyeronokkan yang menyentuh emosi, meningkatkan kecergasan mental, kreatif dan enovatif, penyertaan yang aktif, pembelajaran yang berobjektif dan bermatlamat, yang sentiasa mendapat dorongan dan bimbingan guru dan rakan sebaya, tahap disiplin yang terkawal melalui tindakan yang berhemah, yang dibaluti dengan perasaan kasih dan sayang dapat memberi peluang yang terbaik untuk mengembang potensi diri mereka ke arah pembentukan modal insan yang berkauliti. Guru boleh membuat jangkaan terhadap pelajar, seperti mengurangkan kadar ponteng dan permasalahan disiplin melalui pendekatan pengurusan bilik darjah yang berkesan. Kadar bilangan murid yang terlalu ramai dalam sesebuah bilik darjah, bukan satu ukuran yang subjektif untuk dibuat satu kesimpulan bahawa kelas tersebut tidak dapat dibangunkan, tetapi bagaimana guru menyusun kedudukan meja, mengorganisasikan murid sebagai sebuah pasukan yang mantap, melalui tindakan guru sebagai fasilitator, pembimbing, penyelia, pengawal dan penggerak serta menggunakan pelbagai pendekatan kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran yang disertai dengan semangat, minat, dan komitmen guru bagi menjayakan visi dan misi. Kecekapan yang ditunjukan oleh guru bagi menhasilkan bilik darjah sebagai sebuah rumah dalam slogan,’ bilik darjah ku, rumah ku’. Kemahiran mengawal kelas apabila guru melangkah masuk ke kelas tersebut menjadi penting kerana seorang guru tidak boleh melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berkesan sekiranya muird-murid dalam kelas berkenaan tidak dapat dikawal dengan baik. Guru mungkin berhadapan dengan beberapa murid yang nakal, tetapi harus ingat bahawa bukan semua murid menjadi punca permasalahan tetapi jika tiada pengawalan yang baik, jumlah murid yang akan menimbulkan ketidakselesaan guru akan bertambah dan akhirnya menjejaskan penumpuan guru terhadap penyampaian pengajaran . Strategi bagi mengawal keadaan ini, guru mengenalpasti murid-murid yang menimbulkan punca permasalahan, supaya murid lain tidak menjadi ‘pak turut’ dengan permasalahan rakan mereka itu, murid yang berkenaan dikenalpastikan pula punca yang menyebabkan ia bertindak sedemikian, cuba membantu menyelesaikan punca permasalahan itu, dan teruskan aktiviti pengajaran dengan banyak berinteraksi dengan murid yang berkenaan sehingga ia merasakan dirinya mendapat perhatian dan dihargai bukan kerana dirinya tetapi kerana tingkahlakunya yang tidak disenangi guru. Guru juga sentiasa mempamerkan pengiktirafan terhadap murid berkenaan ketika berada di luar waktu pengajaran dan pembelajaran, ketegasan kepada disiplin pembelajaran perlu dilakukan dengan cara dan pedekatan yang berhemah yang menampakkan bahawa ketegasan itu bukan bertujuan penderaan tetapi pengajaran. Sekiranya perlu murid berkenaan diberikan nasihat, teguran dan kata-kata motivasi yang menggambarkan bahawa guru menyayanginya. Apabila berlaku perubahan ke arah kebaikan, berilah pengiktirafan dan penghargaan terima kasih. Kesabaran, kecekalan dan kesungguhan untuk membentuk perangai mereka yang kadangkala mengambil masa yang agak lama. Beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan mengurus tingkahlaku murid, antaranya ialah senaraikan maklumat yang perlu murid ketahui tentang peraturan yang wajib murid patuhi sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran dan disertai dengan sebab-sebab dan objektifnya. Membiasakan diri datang ke bilik darjah menepati masa, menggunakan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap pencapaian murid, yang dimulakan dengan set induksi yang menarik dan diikuti dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menghilangkan rasa kebosanan mereka atau melakukan beberapa tugasan yang berkaitan dengan isi-isi pengajaran tersebut, guru tidak melengah-lengah waktu untuk memulakan pengajaran dan menamatkan pengajaran diminit-minit yang akhir, untuk mengelakkan murid melakukan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan hasil pembelajaran, banyak merangsangkan minda mereka dengan kata-kata bermotivasi dan penuh dengan senyuman dan jenaka (sense humor), dan pujian supaya suasana senstiasa ceria, di samping memberi teguran umum yang berupa nasihat tetapi bukan leteran. Guru juga menghormati murid seperti orang lain, bersikap adil kepada semua murid, hukuman berbentuk deraan tidak seharusnya dilaksanakan kerana menyebabkan hubungan guru dengan murid akan renggang dan menghilangkan minat murid untuk meneruskan pembelajaran. |
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran Pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah aspek yang terpenting dalam bilik darjah, merupakan tugas utama yang perlu diberi perhatian yang serius, pembaziran waktu akan berlaku dalam satu masa pengajaran dan pembelajaran sekiranya objektif pembelajaran tidak tercapai.Pelan Tindakan Strategik bagi mata pelajaran yang diajar perlu disediakan oleh guru. Kajian dari aspek kekuatan, kelemahan, peluang dan halangan yang disertai dengan perancangan untuk lima tahun dan perancangan untuk tahun semasa selaras dengan perancangan staregik sekolah. Peningkatan profesionalisma guru dalam bilik darjah dilihat dalam aspek kebolehan mencorak kualiti pengajaran, kebolehan menyusun organisasi pembelajaran, kebolehan mencorak iklim dalam bilik darjah, kebolehan mencorak perkembangan murid termasuk perkembangan akademik, perlakuan, sosial, emosi, rohani, intelek dan jasmani. Guru yang bercita-cita untuk menjadi pengurus bilik darjah yang berkesan dapat memahami perasaan dan kehendak hati nurani murid-murid, guru perlu cekap mencorak iklim yang memberansangkan, kecekapan dan kemahiran pengajaran, pengurusan masa, produktiviti dan tugas pengajaran dan pembelajaran, mencorakkan tingkahlaku dan pengawalan disiplin murid. Oleh itu guru berperanan sebagai pendidik, pemudah cara, pemimpin, pembimbing, penilai, perancang, perunding dan pendorong ke arah kecemerlangan murid. Bagi mencapai kecekapan dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran maka perlukan kebijaksanaan dan penelitian dalam perancangan , pelaksanaan, penyeliaan, penilaian dan refleksi. Merancang kurikululum, sukatan, huraian sukatan, buku teks, bahan rujukan tambahan dan maklumat tambahan daripada pelbagai sumber termasuk laman web. Perkara-perkara yang melibatkan innovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya kelas tidak menjadi beku dan kaku diikuti dengan perancangan kemajuan pelajar, merangka rancangan kerja tahunan, termasuk ujian, penilaian dan pentaksiran. Perancangan yang berkualiti menjamin peningkatan kuantiti dan kualiti dalam proses perkembangan pembelajaran serta hasilannya. Biasanya tingkahlaku dan minat murid akan berubah apabila bertukar guru, ada guru yang digemari murid dan sebalik ada yang tidak digemari murid. Pembelajaran yang bermakna melibatkan proses memahami, berfikir, berbincang, membuat pertimbangan, menganalisis, kognitif, bagi mengembangkan minda murid. Diperluaskan kepada kemahiran komunikasi, menyesuaikan diri, kemahiran sosial, dan perkembangan tingkahlaku. Prinsip umum pembelajaran, iaitu meningkatkan dan mengekalkan rasa kejayaan, meluaskan tahap keintlektualan, kerohanian, kekuatan emosi, dan keteguhan jasmani, merangsang minat dan menghasilkan keseronokan, memberi ruang dan peluang untuk mengatasi kelemahan, tidak menakut-nakutkan dan mengungut murid, sebaliknya memberi peluang kepada mereka memperbaiki kelemahan, tidak membiarkan kegagalan berterusan, pembelajaran perlu realistik dan boleh dilakukan, mengambil kira kemampuan murid, pembelajaran perlu dapat menentukan objektif iaitu apa yang hendak dikuasai oleh murid, dan pembelajaran juga mampu mencabar kebolehan murid bagi mengembangkan potensi mereka. Guru perlu memiliki beberapa kemahiran penting, kerana kemahiran mengajar menjadi instrumen untuk kejayaan dalam mengurus bilik darjah, antara kemahiran dalam pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh diambil dari modul, model, kaedah dan teknik yang sedia ada atau menggunakan daya innovasi dan kreativiti membina model-model tersendiri, kemahiran berkomunikasi, kemahiran interpersonal, kemahiran dalam bimbingan dan kaunseling, kemahiran dalam menawan emosi atau kesedaran emosi juga menjadi pemangkin dalam pengajaran dan pembelajaran. Komunikasi adalah medan pemindahan pengetahuan, penyampaian pengajaran, mengembangkan kemahiran berkomunikasi, dan mendapat maklumat. Mengamalkan komunikasi berkesan, penggunaan bahasa, kesediaan mendengar, meningkatkan proses intraksi, komunikasi terbuka, kemahiran bertutur dan mengemukakan pandangan, berhujah dan berdailog, Guru seharusnya mampu mengembangkan kemahiran komunikasi, lebih kreatif dan hubungan yang lebih dinamik kesannya, penyelesaian konflik yang berrlaku, memberi ruang untuk murid melahirkan pandangan, guru mampu melakukan pengaliran maklumat yang lebih berkesan, serta mendapat maklum balas yang benar. Guru berjaya menghasilkan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran, dengan membina pelbagai kemahiran, yang boleh meningkatkan kecekapan, dan meluaskan skop pembelajaran, yang bermatlamat bagi meningkatkan pengajaran guru. Justeru itu guru seharusnya mengelakkan masalah yang boleh menjejaskan keberkesanan komunikasi seperti kekeliruan, salahtafsir, bahasa yang kasar, suara yang tidak jelas, bahasa badan yang tidak sesuai, memberi tekanan emosi murid, komunikasi tertutup, tidak memberi perhatian dan tumpuan tentang pengajaran dan pembelajaran. Kehebatan pengajaran guru bergantung kepada kejelasan suara, gaya pengajaran yang menarik, flesibiliti iaitu tidak sehingga membosankan, inovasi, kreatif, pendekatan yang sentiasa digunakan untuk membaiki kelemahan murid, penglibatan murid dalam aktiviti kelas, dan pengurusan masa yang berkesan. Meransang minat, memenuhi keperluan diri, sosial, dan psikologi, dorongan dan sokongan, mengembangkan potensi, kebolehan, minat, bakat dan keyakinan diri murid.Kepakaran guru diukur dari aspek inisiatif, dedikasi, perancangan, kerjasama, kepimpinan, kepakaran, integriti yang tekal dalam organisasi yang dapat mengujudkan keharmonian dan menunjukkan kesetiaan dan sokongan bagi menjayakan wawasan, keaktifan, dan pengurusan masa. Pembelajaran murid terhasil melalui proses pendengaran,pemerhatian, peniruan, membuat, ekplorasi iaitu pembelajaran yang aktif yang merangsangkan minat murid, melalui latihan, percubaan, penglibatan dalam aktiviti pembelajaran. Kejayaan seseorang guru sebagai pengurus di bilik darjah tidak semata-mata dinilai daripada aspek kemahiran dan teknik pengajaran dan pembelajaran semata-mata, tetapi kualiti peribadi dan sahsiah diri juga menjadi tarikan kepada murid-murid. Pada amnya guru yang disukai murid antaranya ialah yang sentiasa berwajah periang, pandai berjenaka, bersangka baik, berperasaan yang matang, jujur dan ikhlas dalam menjalankan tugas, berfikiran positif, tenang menghadapi sebarang krisis, pendengar yang aktif, berjaya menyelesaikan konflik, dan tidak mudah menyalahkan orang lain. Imam al-Ghazali menggariskan ciri-ciri guru yang efektif iaitu guru yang memiliki rasa simpati kepada setiap murid dan melayani mereka seperti anak sendiri, meneladan sunnah Rasulullah S.A.W. yang ikhlas dalam memberi perkhidmatan, tidak membenarkan murid melaksanakan sesuatu tugas kecuali guru benar-benar mengetahui pengetahuan tersebut, menasihat murid secara lembut dan berhemah supaya meninggalkan perkara-perkara yang buruk, tidak sekali-kali merendahkan disiplin ilmu yang lain di hadapan murid, menghadkan pembelajaran bersesuaian dengan tahap pencapaian dan pemahaman murid dan tidak memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan serta menyediakan bahan pembelajaran yang mudah difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid. Pengajaran Dan Pembelajaran Pengajaran dan pembelajaran yang hendak dikembangkan seharusnya mengikut instrumen yang telah ditetapkan oleh bahagian-bahagian pengurusan di atas. Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral adalah satu-satunya jabatan yang bertanggungjawab untuk memperkenalkan dan menyelaraskan instrumen-instrumen berkenaan untuk digunapakai oleh organisasi di bawah kawalan. Modul pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh JAPIM telah melepasi piawai yang dikehendaki oleh pengurusan sekolah dan jemaah nazir sekolah. Beberapa perkara penting yang dititikberatkan dalam modul berkenaan iaitu hasil pembelajaran dan fokus, isi kandungan pelajaran, set induksi, perkembangan pengajaran dan pembelajaran. Penilaian, rumusan, tugasan dan refleksi. Set induksi : Merupakan suatu perkara atau proses yang diperkenalkan pada minit pertama pengajaran yang bertujuan untuk menarik perhatian dan mendorong murid mempengaruhi hasil pembelajaran, set induksi yang menarik dapat menimbulkan minat murid terhadap tajuk yang hendak disampaikan guru, murid memperolehi gambaran awal sebelum dimulakan pengajaran tajuk yang sebenar, mendorong pelajar untuk mengetahui isi pengajaran, dan pemusatan mental murid kepada satu konsep atau pendekatan yang hendak dikemukakan oleh guru. Set induksi boleh disediakan dalam pelbagai bentuk dan kaedah yang menarik, seperti tayangan sedutan filem, sebuah nasyid, pantun, puisi, satu persembahan atau lakonan, permainan, soal jawab, mempamerkan suatu bentuk atau objek, suatu penyataan yang kontroversial, klip vedio tentang sesuatu panorama, atau satu peristiwa yang telah berlaku, atau menyediakan satu bahan atau satu persoalan yang mencabar minda murid. Set induksi yang hendak disediakan hendaklah yang dapat dikaitkan dengan hasil pembelajaran, isi pelajaran, yang mendorong minat murid terhadap tajuk yang hendak diajar, dan dimulakan dalam keadaan murid sudah bersedia bagi memulakan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran, dalam jangka masa antara satu hingga lima minit. Perkembangan isi pelajaran : Perkembangan isi pelajaran berlaku secara berurutan dengan set induksi, bagi matapelajaran Pendidikan Islam langkah-langkah perkembangan dibahagikan kepada tiga aras. Aras pertama adalah aras asas dan semua murid kelas yang di ajar hendaklah menguasai aras ini, sekiranya gagal mereka dikehendaki mengikuti program pemulihan melalui pendekatan yang lebih mudah seperti menyediakan soalan-soalan yang mudah difahami serta nota ringkas dan mereka membaca dan memahami nota dengan bimbingan guru kemudian menjawab soalan manakala murid-murid lain akan terus ke aras kedua iaitu meneruskan perkembangan selanjutnya, setelah itu guru membuat penilaian, sekiranya ada yang gagal, murid-murid berkenaan diberikan program pemulihan dengan pendekatan yang lebih sesuai, murid-murid lain terus ke aras ketiga sehingga selesai dan diikuti dengan penilaian yang terakhir dipenghujung pengajaran dan pembelajaran. Langkah-langkah perkembangan isi pelajaran perlu bermula dari yang mudah kepada yang lebih kompleks, langkah-langkah disusun dengan menggunakan kaedah-kaedah dan teknik-teknik pengajaran yang sesuai, secocok dengan kemampuan serta menarik minat murid untuk terus menghayati ilmu yang sedang diterokai. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan berkesan mengikut masa yang telah ditetapkan, jika tidak, pembaziran masa akan berlaku dan isi kandungan tidak dapat diselesaikan. Setiap isi pelajaran yang diperuntukkan dalam masa tersebut dapat dinyatakan, difahami, dan sebahagian murid pula dapat menganalisa, membandingbeza dan dapat membuat penilaian. Pembinaan modal insan yang berkualiti yang menjadi agenda Negara sewajarnya dipupuk dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pembinaan intelek, rohani, emosi dan jasmani seharusnya disemai melalui aktiviti-aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran yang berterusan supaya ianya menjadi amalan, penghayatan dan pembudayaan. Penyerapan dengan matapelajaran yang lain, termasuk prinsip-prinsip Islam Hadhari, penggabungjalinan dengan tajuk-tajuk lain, serta penerapan nilai. Guru menggunakan berbagai kaedah dan teknik bagi meningkatkan penguasaan ilmu di samping menjana kemahiran berfikir, termasuk kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran berkomunikasi dan berintraksi, kemahiran menulis, kemahiran berhujah, kemahiran imiginasi dan sebagainya, bagi membentuk kemenjadian murid. Kemahiran menggunakan sumber yang sedia ada menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berksan, seperti alat bantuan mengajar dan bahan bantuan mengajar dan bahan bantuan belajar kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, bahan rujukan tambahan, bahan maklumat tambahan dan sebagainya menjadi inspirasi guru untuk memudah dan mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sumber pengajaran dan pembelajaran hendaklah yang lebih releven dengan hasil pembelajaran serta isi pembelajaran. Sumber itu dapat mempercepat dan menjimat masa pembelajaran, menarik minat murid, dan boleh disertai oleh semua murid. Maklumat dari sumber berkenaan adalah tepat, pengolahan yang mudah difahami, senang digunakan dan boleh diubah dan sesuai dengan keadaan semasa. Apabila seluruh potensi insan dibangunkan secara intergrasi atau bersepadu, ia bakal melahirkan insan yang berketrampilan yang mampu menyumbangkan segala kebolehan untuk kebaikan diri, masyarakat dan Negara. Hati adalah penentu dalam pembangunan insan kerana hati menjadi punca penggerak dan keinnginan manusia dan dari hati juga lahirnya pertimbangan dan nilai sesuatu amalan. Hati perlu menjalani proses pendidikan supaya lahirnya hati yang bersih, baik dan bermanfaat. Intergrasi ilmu yang bersandarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah dan dikaitkan dengan berbagai cabang ilmu, bakal melahirkan modal insan yang berkualiti. Pengujian, penilaian, pengukuran dan pentaksiran : Pengujian adalah merujuk kepada satu cara untuk merealisasikan maklumat tentang perubahan tingkahlaku seseorang. Ujian terdiri satu set soalan atau tugasan murid yang meminta mereka memberi respons atau tindakbalas. Ujian yang dijalankan yang berfokus kepada satu atau lebih unit pembelajaran adalah sebagai pengukur keberkesanan hasil pembelajaran, mengesan kemajuan yang telah diperolehi tentang sesuatu isi pelajaran yang telah dihasilkan dalam aktiviti pembelajaran. Ujian petempatan pula adalah bertujuan menguji pengetahuan yang sedia ada, bagi menentukan aras pembelajaran yang berikut, dan ujian diagnostik adalah bertujuan untuk menjadi panduan kepada guru menentukan kaedah pemulihan dan pengukuhan yang akan dilakukan selepas ujian tersebut. Pengukuran merupakan suatu proses untuk menetapkan kuantiti dan tahap keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran murid. Alat pengukuran yang biasa digunakan oleh seseorang guru. Tujuan pengukuran dalam bilik darjah adalah untuk mengesan hasil pembelajaran, mengesan kemahiran, kemajuan yang telah dicapai dalam pembelajaran yang lain serta membuat refleksi terhadap kemampuan dan penguasaan seeorang murid. Cara pengukuran boleh dilakukan dengan kaedah yang pelbagai bagi mendapatkan data kuantitif, bagi menunjukkan pencapaian dalam isi pelajaran yang diukur. Penilaian dalam pembelajaran adalah suatu proses mentaksir sama ada kuantiti atau tahap sesuatu yang diukur itu boleh diterima atau tidak. Penilaian melibatkan tiga langkah iaitu mendapatkan maklumat melalui cara mengukur, menetapkan suatu kriteria bagi pengukuran dan membuat sesuatu pertimbangan berdasarkan hasil pengukuran. Selain daripada ujian, penilaian boleh dilakukan melalui soal selidik, senarai semak, bagi mendapatkan maklumat tentang pencapaian dan tingkahlaku murid secara menyeluruh.Kepentingan penilaian dalam bilik darjah, antaranya membantu guru merancang strategi pengajaran setelah mengetahui punca kelemahan dan merancang program pengukuhan, dan menentukan pengajaran dan pembelajaran yang lebih efisien dan efektif. Murid dan ibubapa mendapat laporan kemajuan pelajaran. Mengesahkan tahap pencapaian murid bagi membantu guru membuat tindakan susulan. Membantu Pengetua atau Guru Besar, Penolong Kanan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, kaunselor, Guru Bidang dan juga Ketua Panitia Mata Pelajaran bagi melaksanakan berbagai pendekatan membantu meningkatkan prestasi dalam peperiksaan. Penilaian terbahagi kepada dua kategori iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian formatif bertujuan untuk mengukur kemajuan pelajaran murid setelah sesuatu hasil pembelajaran telah selesai dilaksanakan oleh guru, guru dapat mengetahui pencapaian murid sama ada boleh diteruskan ke hasil pembelajaran yang berikutnya. Sekiranya mejoriti murid gagal dalam ujian ini, guru seharusnya melakukan pemulihan atau pengulangan dalam kaedah atau pendekatan yang lebih mudah. Jika sebilangan kecil murid yang gagal, maka murid-murid tersebut juga perlu diipulihkan melalui bimbingan atau menyediakan tugasan tertentu dan dalam masa yang sama pengajaran dan pembelajaran murid-murid yang berjaya diteruskan ke aras atau hasil pelajaran yang berikutnya. Penilaian sumatif ialah penilaian yang dilakasanakan di akhir semester atau tahun seperti peperiksaan akhir tahun, peperiksaan semester I, peperiksaan percubaan dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk menentukan gred-gred pencapaian atau untuk memberi penganugerahan atau sijil. Bidangnya menjadi lebih luas yang mencakupi semua perkara yang perlu dikuasai murid bagi setiap mata pelajaran. Guru juga menggunakan keputusan tersebut sebagai menilai semula keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Beberapa jenis ujian boleh dilaksanakan oleh guru, antaranya, ujian rujukan kriteria, ujian rujukan norma, ujian objektif, ujian subjektif, ujian tara, ujian buatan guru, ujian bukan bertulis, ujian bertulis, ujian kepantasan dan ujian daya. Ujian rujukan norma ialah ujian yang bertujuan membanding pencapaian seorang murid dengan murid yang lain. Soalan-soalan yang dikemukakan terdapat aras mudah, sederhana dan sukar. Ujian rujukan kriteria ialah pencapaian seseorang murid diukur dan dibandingkan dengan kretiria yang telah ditentukan contohnya untuk mendapat markah yang penuh bagi sesuatu soalan atau tugasan maka murid berkenaan perlu memenuhi aspek-aspek yang telah ditentukan. Soalan-soalan dalam ujian ini adalah hampir sama aras kesukarannya, guru dapat membayangkan tahap pengetahuan dan kemahiran yang dicapai oleh murid yang berkenaan. Ujian rujukan kretiria ini lebih mengutamakan pembelajaran bahagian-bahagian tertetu bukan keseluruhan. Ujian objektif adalah ujian yang biasanya memerlukan jawapan pendek iaitu beberapa perkataan sahaja atau menandakan jawapan mana yang betul, contohnya ujian aneka pilihan, salah-betul, padanan, isi tempat kosong dan lengkapkan dan pemeriksa akan memberi markah yang sama dengan pemeriksa yang lain. Ujian subjektif, ialah soalan yang bertujuan untuk menguji pengetahuan, kefahaman dan kebolehan murid itu berfikir, menganalisis, membuat sentisis dan penilaian. Calon diberi kebebasan untuk memberi jawapan dengan pendekatan sendiri. Soalan ini terbahagi kepada soalan yang memerlukan jawapan yang ringkas, dan soalan yang memerlukan jawapan yang tiada had. Ujian tara ialah ujian yang mempunyai prsedur pentadbiran dan permarkahan yang setara dengan murid di tempat yang lain sama bagi satu daerah, negeri atau Negara. Ujian buatan guru adalah ujian yang disediakan untuk mengukur hasil pengajaran dan pembelajaran seseorang guru bagi mata pelajaran tersebut. Ujian bulanan, pertengahan tahun dan akhir tahun sama ada berbentuk objektif atau subjektif. Ujian bukan bertulis dikatakan sebagai ujian perlakuan, yang tidak menggunakan perkataan kecuali semasa memberi arahan. Contohnya, murid menyusun kembali keratan-keratan gambar supaya menjadi gambar yang lengkap. Ujian bertulis iaitu ujian yang perlu dijawab menggunakan perkataan yang ditulis di atas kertas. Ujian kepantasan ialah ujian yang mengandungi jumlah soalan yang banyak dan perlu diselesaikan dalam jangka masa yang terhad dan hampir sama aras kesukarannya. Ujian Daya ialah ujian yang terdiri daripada soalan-soalan yang berbeza-beza aras kesukaran dan markahnya tertakluk kepada jumlah soalan yang dijawab dengan betul, masa yang diperuntukkan adalah lebih lama dimana mejoriti pelajar dapat menyelesaikan semua soalan. Jadual penentuan ujian (JPU) dan sekarang dikenali sebagai jadual spesifikasi ujian (JSU), adalah satu senarai objektif pengajaran dan aras pemahaman yang hendak diuji dan menjadi satu panduan untuk menghasilkan satu set soalan yang mempunyai item-item soalan. Tujuan utama pembinaan JSU untuk mengawal soalan-soalan yang akan dihasilkan, menentukan kesahan dan kebolehpercayaan ujian, menjadi garis panduan kepada penggubal soalan, menstabilkan aras kesukaran yang ditentukan oleh pihak bertanggungjawab, dan membolehkan perbandingan dibuat antara satu ujian dengan ujian yang lain. Ciri-ciri utama JSU ialah penentuan tajuk, aras kemahiran yang hendak diuji, paksi menegak adalah tajuk atau isi pengajaran, paksi mendatar adalah kemahiran atau konstruk, bilangan soalan, dan menetukan kesahan setiap ujian. Prosedur pembinaan JSU iaitu bermula dengan langkah pertama iaitu memilih hasil pembelajaran yang hendak diuji, menyenaraikan isi atau tajuk-tajuk, dan membina carta menegak dan melintang. Rumusan, tugasan dan refleksi : Guru merumuskan hasil pembelajaran yang telah dikembangkan melalui pelbagai kaedah yang menarik, bukan sekadar guru menggambarkan sepintas lalu isi kandungan, tetapi guru boleh menggerakkan murid memberi rumusan berdasar pengalaman pembelajaran tersebut, rumusan juga boleh dipindah dalam pelbagai bentuk seperti susunan dalam bait-bait puisi, sajak, pantun, soal jawab dan main peranan. Tugasan yang disediakan kepada murid adalah untuk pemulihan dan pengukuhan, bergantung kepada pencapaian hasil pembelajaran, tugasan boleh dijelmakan dalam bentuk pemantapan isi seperti meminta murid menyedia peta minda lengkap, menjawab soalan-soalan yang diberi atau untuk tujuan pengukuhan seperti membuat rujukan di perpustakaan, menyediakan folio, atau buku skrap, membuat kajian-kajian luaran, menulis dalam bentuk karangan dan sebagainya. Guru perlu mencatatkan kemajuan dan kelemahan yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran tersebut dan mencari peluang-peluang bagi pengubahsuaian serta mengemuka pandangan atau cadangan bagi menyelesaikan beberapa masaalah pembelajaran supaya pengajaran dan pembelajaran berikut dapat dilaksakan dengan lebih sempurna dan terdapat penambahbaikan. Penutup Guru yang berkualiti mempunyai wawasan yang jelas, daya kreativiti, serta peka terhadap segala perubahan yang dikehendaki oleh pengurusan atasan supaya tidak berlaku pembaziran waktu disebabkan berbagai pemantauan yang penyeliaan yang terpaksa dijalankan. Guru yang berwibawa sentiasa memikir kaedah bagi mencapai pengurusan yang cemerlang, di antara perkara yang menjadi fokus ialah mengetahui dan memahami bidang kerjayanya, menghayati hasil kerja atau objektif kerja untuk jangka panjang dan jangka pendek, kerja yang dilakukan lebih spesifik, boleh diukur pencapaiannya, boleh dicapai, realistik, dan bijak dalam pengurusan masa. Perancangan yang rapi bagi memastikan objektif-objektif tercapai, meletakkan keutamaan dalam tugasan. Keupayaan, kemahiran melaksanakan tugas, kemahiran berfikir, kemahiran berintrkasi, dan berkomunikasi, kemahiran mengurus dan mentadbir, dan kemahiran mengaplikasi peralatan yang terkini seperti komputer, kecekapan menjalankan tugasan yang diamanahkan di samping memiliki wawasan yang jelas. Kemampuan membuat pemantauan atau refelkesi di atas kerja-kerja yang telah dilakukan untuk tujuan penambahbaikan, di samping memiliki sahsiah sebagai seorang guru yang boleh mempamerkan teladan yang baik kepada semua orang serta mematuhi tonggak dua belas, nilai dan etika dalam perkhidmatan awam serta etika kerja dalam Islam. Guru yang berwawasan bertindak sebagai mualim, muaddib, murabbi, mursyid, dan dalam masa yang sama sebagai fasilitator, pembimbing dan kaunselor yang sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu menumpukan perhatian dengan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, ‘sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan pekerjaan dengan tekun’. (Riwayat Baihaqi). Guru adalah segala-galanya. Pengurusan bilik darjah yang dinamik bergantung kepada kebijaksanaan guru memainkan peranan sebaik mungkin bagi menghasil bilik darjah harmonis, kondusif dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang memberansangkan serta mencapai objektif. |